Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) menjadi institusi pengajian tinggi pertama di negara ini yang menggunakan sepenuhnya teknologi pengenalpasti berfrekuensi radio (Radio Frequency Identification-RFID) bagi memudahkan urusan seharian kakitangan dan pelajar universiti itu.
Ia adalah hasil kerjasama strategik AUCMS dengan syarikat pembekal Pentamaster Solutions Sdn. Bhd. (Pentamaster) yang ditandatangani antara Presiden AUCMS, Datuk Dr. Zainuddin Md. Wazir dan Pengerusi Eksekutif Pentamaster, Dr. Chuah Choon Bin baru-baru ini.
Sistem RFID akan mengambil masa setahun untuk dibangunkan dalam tiga peringkat dan menelan belanja RM3 juta yang memberi manfaat bukan sahaja kepada kampus induk AUCMS di Kepala Batas tetapi juga kampus cawangan di Kangar, Kuala Lumpur dan Kulim.